KOTA BHARU: Jabatan Kastam Kelantan merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM50.2 juta melibatkan 958 kes bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata daripada jumlah itu, dadah merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM21.3 juta melibatkan 27 kes.
Rokok mencatat nilai rampasan RM2.19 juta dalam 133 kes manakala ayam beku bernilai RM2.11 juta dalam 16 kes.
Jumlah rampasan dadah ini menunjukkan peningkatan 99.5% berbanding hanya 12 kes bernilai RM105,601 pada tahun lepas.
Pada 19 Ogos lalu, pihak kastam berjaya melakukan rampasan dadah terbesar setakat ini iaitu dadah jenis syabu bernilai lebih RM8.9 juta di tepi jalan Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, Pasir Mas.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori.
Wan Jamal Abdul Salam menggesa orang ramai membantu kastam dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan dadah, rokok dan minuman keras.
Aktiviti penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah turut mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kerahsiaan maklumat. – Bernama