KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok bernilai lebih RM600,000 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Kampung Mentera dekat Bukit Marak, Bachok, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Negeri Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan pertama dilakukan pada 9 Mac lalu, selepas pasukannya menahan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang mencurigakan sekitar 1.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 57,200 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM10,420, dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori serta cukai dianggarkan mencecah RM85,000,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada hari yang sama sekitar 2.30 petang, pasukan operasi turut menyerbu sebuah stor dan menemukan 765,200 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai cukai berjumlah RM515,881.
“Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah berurusan dengan kumpulan pengedar bagi memasarkan rokok seludup ini di kawasan kampung,“ katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, kerana membabitkan barangan larangan import seperti yang tertakluk di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.