KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menerima maklum balas positif selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung kewarganegaraan kepada Majlis Raja-Raja hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Proses untuk membentang pindaan Perlembagaan di bawah tajuk warganegara diteruskan. Hari ini, KDN dijemput membentangkannya kepada Majlis Raja-Raja tetapi ia perlu memperhalusi beberapa perkara bersama SUHAKAM.

“Hasilnya sangat positif. Saya tidak boleh sebut lebih daripada itu sebab Majlis Raja-Raja akan menyusul dengan minit mesyuarat secara rasmi (kemudian) barulah saya akan buat pengumuman seterusnya,” kata beliau kepada pemberita selepas sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di Flat Sri Kelantan di Sentul hari ini.

Pada sesi itu, Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman, 10, menerima surat pengesahan yang disampaikan oleh Saifuddin selepas permohonan ibu angkatnya, Azlina Hamzah, diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada Jun lepas.

Pada 24 Mac lepas, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu adalah bagi menyelaraskan umur mengundi di Malaysia dan takrif kanak-kanak yang diperuntuk dalam Akta Kanak-Kanak 2001 serta umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971.

Ia turut melibatkan pindaan Fasal (2) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada beberapa peruntukan lain dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan.

Saifuddin berkata beliau telah meneliti cadangan balas berhubung rang undang-undang itu yang disediakan oleh Gabungan Hak Kewarganegaraan Malaysia dan memberikan penjelasan serta justifikasi pindaan dalam pertemuan dengan mereka pada Selasa lepas.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SUHAKAM Datuk Hishammuddin Yunus pada Rabu lepas untuk menerangkan setiap butiran cadangan pindaan selain mendengar pandangan balas.

“Antara persetujuan kami adalah berkaitan permohonan warganegara iaitu KDN perlu adakan satu prosedur operasi standard,” katanya.