KUALA LUMPUR: Seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata 112 mangsa yang cedera itu melibatkan penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Kuala Sungai Baharu.

“Daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur dan masalah pernafasan serta luka.

“Bakinya iaitu 49 mangsa menerima rawatan awal di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya,“ katanya pada sidang media di Pusat Operasi Khas JBPM dan PDRM di sini hari ini.

Mohd Zaini berkata setakat ini, dua pusat pemindahan sementara dibuka iaitu Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terjejas.