IPOH: Kerajaan negeri menyumbang RM5,000 kepada waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Teluk Intan pada 13 Mei lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pemberian itu seperti yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak.

“Sebelum ini jumlah yang sama kita berikan kepada waris mangsa insiden helikopter terhempas di Pangkalan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) Lumut dan peruntukan sama juga kita luluskan untuk tragedi ini.

“Sumbangan RM5,000 kepada setiap keluarga mangsa telah diuruskan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan telah diserahkan kepada waris mangsa terlibat,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi.

Dalam kejadian 8.50 pagi 13 Mei lepas, sebuah trak FRU dinaiki 18 anggota pasukan dari Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam di sini, terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa muatan batu semasa dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

Kemalangan itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi anggota mengalami pelbagai kecederaan.