KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha mempertingkatkan kesinambungan dan kualiti pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam kunjungan hormat oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bersama delegasi KPM, Zambry berkata mereka menekankan komitmen kedua-dua kementerian untuk menyelaraskan dasar pendidikan negara secara menyeluruh bermula daripada prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi.
Antara yang dibincangkan ialah pelaksanaan Program Tingkatan Enam dalam Kampus di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program inovatif itu akan membuka peluang kepada pelajar Tingkatan Enam mendapatkan pengalaman pembelajaran prauniversiti dalam persekitaran pendidikan tinggi sekali gus membina asas akademik yang lebih kukuh dan relevan dengan keperluan masa depan.
“Pelaksanaan program ini merupakan langkah permulaan yang signifikan untuk memperluas pengalaman pembelajaran prauniversiti dalam suasana universiti dan menambah nilai kepada pendidikan Tingkatan Enam. Kami menjangkakan pendaftaran pelajar akan bermula pada 10 Jun ini,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Selain itu, beliau berkata pertemuan tersebut turut membincangkan cadangan penubuhan Majlis Pendidikan Negara, sebuah platform bersama yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatukan hala tuju dan dasar pendidikan negara secara bersepadu dan tanpa sempadan antara KPM dan KPT.
Inisiatif Program Telaah juga menjadi fokus utama kerjasama yang bertujuan memasyarakatkan budaya membaca dan memperkasakan tradisi ilmu menerusi diskusi berasaskan karya besar dan isu kebangsaan.
Program itu dijangka mendapat sokongan luas daripada KPM dan Kementerian Komunikasi untuk memperluas capaian ke peringkat sekolah dan masyarakat umum.
Zambry menegaskan bahawa pendidikan tidak lagi boleh dilihat sebagai entiti berasingan sebaliknya harus disepadukan dalam satu hala tuju bersama yang menyatukan nilai, ilmu dan kemahiran demi membentuk generasi Malaysia yang berwibawa dan berdaya saing.
“Kita yakin dengan semangat keterbukaan dan kesalingan yang terjalin hari ini, ekosistem pendidikan negara akan terus kukuh dari akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.