ALOR SETAR: Isu kecurian kabel sistem semboyan yang berperanan mengawal pergerakan tren dan komunikasi yang berterusan telah memberikan kesan ketara ke atas perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di sektor utara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter Utara yang berpunca daripada kes kecurian kabel berkenaan meningkat daripada 85 kes pada Julai 2024 kepada 804 kes pada Disember 2024.
“Sebanyak 20 lokasi hotspot telah dikenal pasti, dengan sektor Sungai Petani-Tasek Gelugor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 35 kes dan sektor Gurun-Sungai Petani 21 kes pada 2024,“ katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Stesen KTM Alor Setar di sini hari ini.
Beliau berkata kos pembaikan mencecah RM1.35 juta, dengan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi.
Justeru, Loke berkata kes kecurian kabel yang meningkat secara mendadak ini tidak boleh dipandang mudah sebagai isu jenayah kecurian semata-mata kerana ia bukan sekadar mengganggu perkhidmatan KTM tetapi berpotensi mengancam keselamatan penumpang dan kargo.
“Sistem semboyan berperanan mengawal pergerakan tren yang membawa ratusan penumpang dan kargo yang nilainya jutaan ringgit secara selamat. Sindiket mencuri kabel adalah sabotaj berunsur jahat yang menjejas ketenteraman awam dan keselamatan negara,“ katanya.
Oleh itu, beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan fokus perlu diberikan kepada peruntukan kuasa undang-undang berkenaan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memburu anasir yang mensabotaj infrastruktur negara dan membahayakan orang awam agar mereka dibawa ke muka pengadilan,“ katanya.
Di peringkat KTM, Loke berkata 132 operasi khas termasuk rondaan 24 jam di kawasan panas seperti Sungai Petani, Gurun dan Tasek Gelugor di Pulau Pinang dilaksanakan oleh Polis Bantuan KTM.
Beliau berkata KTM juga akan menambah baik rangkaian axle counter atau sistem penghitung gandar dan peralatan axle counter dengan anggaran kos RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun, tertumpu di kawasan panas.
Selain itu, KTM juga akan menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk kamera litar tertutup, dron, pagar antipanjat serta memasang penutup manhole dengan mekanisma kunci baharu.