JERTIH: Kediaman keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Allahyarham Nurly Shahirah Azman yang juga seorang hafizah al-Quran di sini tidak putus-putus dikunjungi orang ramai walaupun hari ini telah genap seminggu kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak.

Abang Allahyarham, Mohd Najmuddin, 28, berkata rumah mereka setiap hari dikunjungi tetamu daripada pelbagai latar belakang dan dari segenap pelosok negara yang kebanyakannya ingin melihat sendiri naskhah al-Quran lengkap hasil tulisan tangan adik perempuannya.

“Orang ramai datang tidak putus-putus dari pelbagai tempat seperti Pulau Pinang yang mahu mengucapkan takziah kepada ibu bapa saya dan ingin melihat mushaf yang disalin semula arwah adik.

“Ada yang datang seawal selepas solat subuh dan sehingga waktu maghrib barulah rumah kami lengang sedikit,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Gong Pasir di sini.

Mohd Najmuddin berkata bukan sahaja ibu bapa dan adik-beradiknya, malah jiran tetangga serta orang kampung turut sama menyingsing lengan membantu menyediakan makanan dan minuman untuk dihidangkan kepada tetamu.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Azman Mohamad, 63, berkata kunjungan orang ramai termasuk tetamu yang tidak dikenalinya sedikit sebanyak memberikan mereka sekeluarga kekuatan menghadapi kehilangan insan tersayang itu.

Pesara kerajaan itu juga bersyukur meskipun telah berusia, dia dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa bertenaga melayani kehadiran tetamu yang tidak putus-putus setiap hari.

“Alhamdulillah pada waktu seperti ini saya diberi kekuatan oleh Allah untuk melayan tetamu, sedangkan sebelum ini saya sering berasa letih dan perlu tidur sebentar sekitar 10 atau 11 pagi,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, Nurly Shahirah dan 14 lagi pelajar UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak, terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di JRTB di Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.