• 2025-08-20 10:21 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian kerana kertas siasatan kes pada 2013 itu adalah lengkap.

“Kes adik Faris (Wan Ahmad Faris) pada 2013 dan keputusan inkues pula 2016,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan inkues mendapati mangsa ditemui tergantung dan ada penglibatan pihak ketiga sehingga keluarga mendesak siasatan semula.

“Saya ingin katakan bahawa, ya...polis akan buka semula kertas siasatan (Wan Ahmad Faris) dah siap, (namun) pada waktu itu (2013) DPP (Timbalan Pendakwa Raya) mengatakan kes berkenaan sebagai no further action (tiada tindakan lanjut).”

Saifuddin Nasution menyatakan telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah mengenai halangan untuk meneliti semula kertas siasatan tersebut.

“Polis kata tiada masalah apa-apa untuk buka balik kertas siasatan itu kerana ia sudah lengkap.”

Pada Isnin lepas, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris menyerahkan surat kepada polis Bukit Aman bagi memohon polis membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz itu.

Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ditemui mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas pada Disember 2013.

Mayatnya dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas tersebut.

Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Sementara itu, persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama