SHAH ALAM: Selangor mencatatkan pengukuhan dari segi kedudukan kewangan pada tahun ini dengan jumlah Kumpulan Wang Disatukan mencecah RM4.365 bilion, peningkatan sebanyak RM751.46 juta daripada RM3.614 bilion tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata prestasi cemerlang kerajaan negeri dicatatkan menerusi kutipan hasil sebanyak RM2.43 bilion bersamaan dengan 110.43 peratus berbanding anggaran hasil 2024 sebanyak RM2.2 bilion setakat 13 Nov, lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, hasil cukai sebanyak RM704.95 juta manakala hasil bukan cukai pula RM1.49 bilion serta terimaan bukan hasil berjumlah RM226.55 juta.

“Antara penyumbang kepada hasil negeri adalah premium tanah iaitu RM1.048 bilion (48 peratus) daripada anggaran hasil keseluruhan, diikuti hasil cukai tanah sebanyak RM592.65 juta atau 27 peratus.

“Penyumbang seterusnya adalah pemberian Persekutuan iaitu RM209.20 juta bersamaan 10 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini, pada Jumaat.

Amirudin berkata prestasi cemerlang Selangor terus ditunjukkan menerusi pelunasan hutang kepada kerajaan Persekutuan membabitkan baki ansuran akhir Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor, masing-masing berjumlah RM19.20 juta dan RM1.89 juta.

Beliau berkata penyelesaian hutang membuka ruang untuk kerajaan negeri meneruskan strategi hasil baharu dengan meningkatkan penglibatan anak syarikat, badan berkanun, dan agensi kerajaan negeri melalui pemberian sumbangan dan dividen.

Beliau berkata sehinggga November 2024, entiti seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Bhd telah menyumbang RM30 juta daripada sasaran RM40 juta yang ditetapkan, manakala bakinya akan diterima sebelum hujung tahun ini.

Kerajaan negeri turut menganggarkan potensi hasil sebanyak RM121 juta pada 2025 sebagai caj ke atas pemulangan air atau pelepasan bahan buangan serta kumbahan yang membawa risiko pencemaran sumber air susulan pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar mengikutkan Enakmen LUAS 1999.

“Selaras dengan keperluan semasa, kerajaan negeri menyasarkan penerimaan tambahan RM74 juta daripada operator industri air, meningkat kepada RM92 juta setahun yang akan diterima bermula 2025 daripada hanya RM18 juta pada 2023 bagi penyelarasan kadar caj abstraksi air mentah,” katanya.