KUCHING: Faktor keharmonian menjadi asas kepada negeri Sarawak dalam membina satu ekosistem yang baik untuk pembangunan masyarakat yang seimbang, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari berkata beliau berharap agar keadaan harmoni itu dapat kekal dan terus dipelihara, supaya setiap lapisan masyarakat dapat berkembang dengan sejahtera.
“Saya nampak ramai yang hadir (Rumah Terbuka) Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini, mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan negeri, rakan-rakan dalam kabinet, serta hubungan yang baik dengan rakyat Sarawak.
“Kehadiran ini menunjukkan semangat bersatu dalam kalangan semua pihak, dan dengan keadaan yang harmonis ini, Sarawak dapat melangkah maju dalam pembangunan negeri serta mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka anjurannya di BCCK di sini, hari ini.
Sementara itu Abang Johari berkata pembangunan infrastruktur yang menyeluruh di Sarawak juga dijangka memperkukuhkan ekonomi negeri itu menjelang 2030.
“Dengan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, dan elektrik, Sarawak akan dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat, serta mewujudkan ekosistem yang lebih baik,” katanya.