KUCHING: Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur disebabkan oleh faktor geografi dan struktur tanah kawasan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata struktur tanah berbatu kapur yang terdapat di kawasan itu, mempengaruhi pergerakan air bawah tanah selain menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya mengakibatkan tanah jerlus.

“Kadang-kadang kita tidak boleh menyangka bila dan di mana tanah jerlus ini akan berlaku.

“Bukan sahaja di Malaysia, tetapi fenomena ini juga berlaku di seluruh dunia, terutama di kawasan yang mempunyai batu kapur dan keadaan geologi tertentu,” katanya selepas majlis Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dengan adanya teknologi yang canggih pada masa akan datang, beliau berharap kejadian tersebut dapat dikurangkan dan langkah pencegahan awal dapat diambil.

“Kita tidak boleh meramalkan dengan tepat bila tanah jelus akan berlaku, dengan pengetahuan dan teknologi yang betul, kita boleh mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi komuniti dan mengurangkan kesan daripada kejadian ini,” katanya.

Pada kejadian pagi Jumaat, seorang mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.

Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan dengan fokus pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam dengan bantuan enam anggota dari Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.