• 2025-09-11 02:15 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan kejayaan skuad wushu negara meraih lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Wushu Dunia 2025 di Brazil sebagai bukti keberkesanan pelaburan berterusan kerajaan dalam pembangunan sukan itu.

Beliau berkata kejayaan tersebut adalah hasil pelaburan Kerajaan MADANI melalui Majlis Sukan Negara (MSN) yang memperuntukkan sebanyak RM4,335,122 kepada sukan wushu pada tahun ini.

Kejayaan yang dilakar hari ini membuktikan bahawa pelaburan berterusan, latihan berkualiti dan sokongan menyeluruh adalah kunci utama kepada peningkatan prestasi atlet.

Air mata Tan Cheong Min melambangkan perjalanan 12 tahun beliau dalam skuad wushu negara dengan detik persiapan penting melalui latihan tiga bulan di China.

Pingat emas Malaysia disumbangkan oleh Si Shin Peng menerusi acara jianshu dan qiangshu lelaki, Tan Cheong Min dalam nangun wanita, gandingan Lee Jia Rong dan Pang Pui Yee dalam duilian wanita serta Jia Rong dalam acara daoshu wanita.

Hannah berkata kejayaan itu juga membuktikan bahawa apabila kebajikan atlet diberikan keutamaan melalui latihan saintifik, bimbingan jurulatih berkualiti, elaun stabil dan perancangan jangka panjang, ia mampu melahirkan atlet yang lebih bahagia serta berprestasi tinggi.

Beliau yakin dengan kesinambungan pelaburan sebegini, Malaysia bukan sahaja berpotensi menjadi kuasa besar dalam wushu, malah berupaya melonjakkan pencapaian sukan lain di pentas dunia. – Bernama