• 2025-07-07 10:16 AM

GENEVA: Kejelasan dan kestabilan dasar, disokong oleh kestabilan politik menjadi faktor utama yang menarik minat pelabur asing ke Malaysia, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Rancangan Malaysia, Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) merupakan antara contoh dasar kerajaan yang jelas dan konsisten.

“Kejelasan dan kestabilan dasar ini menjadi daya tarikan utama kepada pelabur. Mereka yakin bahawa dasar-dasar ini tidak akan diubah secara sewenang-wenangnya.

“Buktinya kita lihat angka-angka yang diumumkan sama ada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mahupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuktikan Malaysia terus menjadi negara yang sangat diminati oleh pelabur asing,” katanya.

Fahmi berkata demikian semasa sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia di Rumah Malaysia di sini pada Ahad yang turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Geneva, Datuk Nadzirah Osman.