• 2025-06-27 01:42 PM

KUALA LUMPUR: Isu kekangan kewangan yang dihadapi seorang remaja untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) berjaya menarik perhatian Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Dalam satu hantaran di media sosial sempena Maal Hijrah, Fadhlina mengucapkan terima kasih kepada semua yang memaklumkan perkara itu kepadanya. Beliau memaklumkan bahawa pasukannya sedang berhubung dengan keluarga remaja tersebut bagi memastikan pengajiannya dapat diteruskan.

“Alhamdulillah, pasukan saya sedang berhubung dengan keluarga untuk menguruskan anakanda ini meneruskan pengajiannya ke IPG. Anggap sahaja selesai dan mari kita sama-sama mendoakan kejayaan anak ini dalam pengajiannya kelak. Inilah semangat hijrah yang kita mahukan!” katanya.

Kisah remaja itu sebelum ini tular di media sosial selepas dilaporkan bahawa dia mungkin terpaksa mengorbankan peluang melanjutkan pelajaran di IPG Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Hal ini disebabkan masalah kewangan keluarga, di mana bapanya bekerja sebagai penoreh getah manakala ibunya tidak bekerja dan menghidap kanser tahap empat sejak lebih setahun lalu.

Muhammad Syahmi Azril Saidiljamal, 18, yang menerima tawaran pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, sepatutnya mendaftar di IPG tersebut pada 11 Ogos ini.