ROME: Pihak berkuasa Itali telah merampas aset bernilai €140 juta (US$164 juta) dalam siasatan berskala besar berkaitan penipuan cukai perdagangan minyak yang dijalankan oleh Mafia Calabrian, kata polis kewangan Guardia di Finanza pada Khamis, lapor agensi berita Jerman dpa.
Rampasan dilakukan di Itali dan Jerman. Lima syarikat disyaki terlibat dalam rangkaian penipuan yang dikendalikan oleh kumpulan mafia Ndrangheta, yang berpusat di selatan Itali tetapi beroperasi secara antarabangsa.
Operasi “Andrea Doria” yang diselaraskan oleh pendakwa anti-Mafia Calabrian mendedahkan skim penipuan perdagangan minyak yang rumit, iaitu syarikat hadapan dan hubungan perniagaan palsu digunakan untuk mengelak daripada membayar cukai nilai tambah dan cukai penggunaan.
Antara taktik yang digunakan termasuk mengemukakan penyata palsu bagi membolehkan pembelian minyak tanpa cukai.
Organisasi jenayah itu dilaporkan mengawal keseluruhan rantaian pemasaran minyak sehingga ke peringkat pengedaran akhir di jalanan, dengan penglibatan syarikat palsu dan ejen hartanah tempatan.
Pihak berkuasa Itali merampas 80 hartanah di seluruh Itali dan 28 perniagaan, termasuk tiga syarikat yang berpangkalan di Jerman. Syarikat tersebut terlibat dalam perdagangan minyak, pengangkutan dan penyewaan hartanah.
Lebih 80 kenderaan, beberapa jam tangan mewah dan kira-kira €1 juta wang tunai turut dirampas.