KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk kepada ADUN pembangkang di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata peruntukan berkenaan diberikan sama rata termasuk kepada ADUN daripada Barisan Nasional iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Peruntukan untuk Rancangan Kecil Pembangunan juga diberikan kepada semua ADUN termasuk yang baharu. Sekarang sudah hampir penghujung Ogos dan kita beri peruntukan untuk setahun.

“Oleh kerana Mohd Azmawi baru dilantik, kita perlu tengok tempoh beliau memegang jawatan ADUN Nenggiri tetapi ia tidak akan lari daripada peruntukan tahunan,“ katanya kepada pemberita ketika pada Majlis Perasmian Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2024 di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata Mohd Azmawi Fikri akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Nenggiri pada persidangan DUN Kelantan yang dijadualkan pada Oktober ini.

“Beliau (Mohd Azmawi Fikri) akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Nenggiri sebelum sesi pembentangan Belanjawan Kelantan 2025,“ katanya.

Pada 17 Ogos lepas, Mohd Azmawi Fikri memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi menewaskan pencabarnya Mohd Rizwadi Ismail dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Dengan kemenangan Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu, Kerajaan Perpaduan kini mempunyai tiga wakil dalam DUN Kelantan termasuk ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim daripada BN dan ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim daripada Pakatan Harapan.