KOTA BHARU: Sebanyak 601 kes jenayah komersial direkodkan di Kelantan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, melibatkan kerugian mencecah RM14.1 juta, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau berkata berdasarkan statistik perbandingan kes dan kerugian mengikut modus operandi jenayah komersial, kategori jenayah siber dan multimedia mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 401 kes atau 67 peratus daripada keseluruhan, dengan kerugian berjumlah RM7.47 juta.
“Antara jenayah siber yang kerap berlaku termasuk penipuan dalam talian seperti sindiket penipuan telefon, pembelian palsu melalui media sosial, penipuan pekerjaan serta penipuan cinta.
“Kategori kedua tertinggi melibatkan kes pelaburan bersindiket, penggunaan kad elektronik dan lain-lain jenayah berkaitan, dengan 105 kes direkodkan (17.4 peratus) membabitkan kerugian RM4.54 juta,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Kelantan bagi bulan Jun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Sementara itu, jenayah berkaitan kewangan, perbankan, koperasi dan insurans mencatatkan 81 kes (13.47 peratus) dengan jumlah kerugian RM966,336.38.
“Bagi kategori pemalsuan, pelencungan dan kes berkaitan tanah, hanya tujuh kes direkodkan (1.16 peratus) dengan kerugian RM85,000. Kes korporat pula turut melibatkan tujuh kes (1.16 peratus), namun membabitkan kerugian lebih tinggi iaitu RM1.05 juta,” katanya.
Mohd Yusoff berkata pihaknya terus mempergiatkan usaha kesedaran dan pencegahan melalui kerjasama dengan agensi berkaitan serta masyarakat awam bagi membanteras jenayah komersial yang semakin kompleks.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita menyaksikan peningkatan yang membimbangkan dalam kes-kes jenayah jalanan termasuk samun, ragut, pecah rumah serta jenayah komersial yang semakin berleluasa melalui platform dalam talian.
“Jenayah seperti penipuan dalam talian, penipuan pelaburan dan penyamaran identiti kini bukan sahaja melibatkan kerugian harta benda, malah turut memberi kesan kepada emosi dan keselamatan masyarakat,” katanya.