KOTA BHARU: Tunggakan gaji membabitkan hampir 20 bekas pemain dan jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC akan diselesaikan musim ini.
Presiden Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) Tan Sri Annuar Musa berkata tunggakan itu hanya membabitkan tempoh tiga bulan iaitu Februari, Mac dan April tahun ini.
Beliau berkata pihaknya juga memohon agar diberikan ruang untuk berunding dengan bekas pemain dan jurulatih yang terlibat bagi mempercepatkan penyelesaian isu berkenaan.
“Jangan bimbang, semua hutang akan dibayar. Cuma bagi kita peluang untuk berunding, siapa yang mustahak mahu duit cepat kita boleh ikhtiar. Namun, kita ada menawarkan situasi menang-menang agar mereka memberi pengurangan pembayaran.
“Sekiranya mereka bagi diskaun, kita boleh selesaikan dalam bulan Ogos tetapi jika mereka tidak mahu tidak mengapa sebab itu hak mereka... Kalau tiada diskaun, kita akan selesaikan tunggakan yang membabitkan kira-kira RM300,000 itu dalam musim ini,” katanya pada sidang media Kelantan TRW di sini hari ini.
Terdahulu, Annuar turut mengesahkan beliau telah menerima tawaran jawatan sebagai Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan TRW berkuat kuasa serta-merta.
Bernama pada Ahad lepas melaporkan Pengurusan Kelantan TRW diberi tempoh sehingga hari ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji hampir 20 pemain dan jurulatih pasukan pada musim lepas.