• 2025-07-14 02:00 PM

KELANTAN: Kelantan dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Kebajikan Haiwan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang memberi tumpuan kepada industri kuda. Program ini akan berlangsung di Resort Seri Nipah, Bachok pada Sabtu ini dengan kerjasama kerajaan negeri dan Universiti Malaysia Kelantan.

Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan Bahagian Regulatori Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Dr Marzuna Md Yunus menjelaskan pemilihan kuda sebagai fokus utama selaras dengan identiti budaya masyarakat di negeri tersebut.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pertandingan Kuda SMART, persembahan menunggang kuda secara santai, sesi perkongsian maklumat kesihatan haiwan, serta taklimat pendaftaran dan pemindahan kuda.

“Pada sambutan kali ini, program Pendaftaran Kad Pengenalan Kuda akan diadakan bagi memberi kesedaran kepada semua pemilik mengenai tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan,” katanya dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ di Bernama TV.

DVS turut memperkenalkan inisiatif pemakaian mikrocip yang dilengkapi penjejak GPS dan nombor siri unik untuk memudahkan pengesahan pemilik dalam pangkalan data.

“Kami akan memberikan mikrocip dan kad pengenalan secara percuma kepada 10 peserta pertama yang mendaftar,” tambah Dr Marzuna.

Beliau juga menekankan pentingnya nilai ihsan dan empati terhadap haiwan tanpa mengira status, sama ada haiwan peliharaan atau jalanan.

“Perkara asas yang perlu difahami ialah jangan sesekali menzalimi haiwan dalam apa jua keadaan,” tegasnya.

Pemilik haiwan juga dinasihatkan memiliki pengetahuan asas penjagaan haiwan bagi memenuhi keperluan kebajikan haiwan peliharaan.