KOTA KINABALU: Kelawar akan menjadi spesies terancam sekiranya penguatkuasaan dan kawalan pengeluaran lesen memburu tidak dilaksanakan dengan lebih ketat, kata Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Mohd Soffian Abu Bakar.

Sehubungan itu, beliau berkata penguatkuasaan untuk memastikan haiwan berkenaan tidak diburu oleh pemburu haram, perlu terus dipertingkatkan daripada semasa ke semasa, selain pengeluaran lesen memburu dikawal dengan baik.

Mohd Soffian berkata populasi kelawar di Sabah masih terjaga dan belum terancam, namun boleh berlaku sebaliknya jika langkah penguatkuasaan dilakukan sambil lewa dan tiada langkah pemuliharaan spesis itu dilakukan secara berkesan.

“Kelawar masih boleh diburu dan kita keluarkan lesen memburu kelawar, bagaimanapun kawasan memburu kelawar ini sangat terhad dan bukan semua tempat boleh memburu. Kelawar ini bermusim dan bukannya hari-hari dapat memburu haiwan berkenaan, sebab itu kita masih mengeluarkan lesen untuk memburu.

“Sukar untuk mengetahui berapa banyak populasi tetapi berdasarkan jumlah lesen yang kita keluarkan, kebanyakan orang yang memohon lesen untuk 10 ekor, had setakat ini tidak ada namun sekiranya ada pemohon yang memohon untuk memburu lebih banyak kita kena hadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Keluang Sempena Projek Kerjasama Rehabilitasi Keluang Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim berkata majlis berkenaan, satu peristiwa bersejarah untuk UMS kerana buat pertama kali untuk universiti berkenan menjalankan program rehabilitasi kelawar bersama agensi lain.

“Ini satu projek yang dinanti-nantikan setelah 28 tahun penubuhan pusat penyelidikan ini di UMS. Dalam projek ini kita dapat mengetengahkan pakar kita, sebelum ini kita membuat penyelidikan secara sendiri namun kali ini kita bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Sebenarnya kerjasama antara UMS dan agensi luar sangat diperlukan terutamanya dalam bidang pemulihan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata UMS sebelum ini banyak melakukan kerjasama dengan agensi luar daripada segi pemuliharaan alam sekitar, selain kesedaran terhadap gajah dan pelbagai haiwan lain di Sabah.

“Namun ini pertama kali kita melaksanakan projek rehabilitasi kelawar dan kita berharap kerjasama ini berjalan dengan lancar,” katanya.