KUALA LUMPUR: Kelewatan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pantai Timur berpunca daripada masalah pengambilan tanah dan pengalihan semula utiliti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bagaimanapun isu pengambilan tanah telah diselesaikan dan projek yang terlibat telah mendapat pelanjutan tempoh kontrak bagi memastikan tiada lagi pelanjutan.
“Bagi masalah pengalihan utiliti, kita sudah dapat persetujuan daripada syarikat utiliti dan diharap kontraktor yang dilantik dapat mengalihkan utiliti dengan segera supaya tidak ada lanjutan lagi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu langkah drastik kementerian, dalam menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir dan kesan langsung daripadanya dalam menghadapi jangkaan banjir besar di seluruh negara khususnya Pantai Timur.
Fadillah berkata terdapat 26 projek RTB di seluruh Pantai Timur dengan kos berjumlah RM8 bilion dan daripada jumlah itu, satu telah siap iaitu projek RTB Lembah Bertam di Cameron Highlands, Pahang, manakala 10 projek masih dalam peringkat prapelaksanaan.