• 2025-09-01 07:32 PM

KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim bagi menuntut keadilan mengenai kematian pelajar tingkatan empat itu.

Memorandum tersebut diserahkan oleh wakil keluarga Ali Hanafiah Mohamed kepada wakil Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Mohd Anas Ridzuan Shamsuddin.

Ali Hanafiah menjelaskan memorandum itu mengandungi tiga tuntutan utama termasuk penjelasan mengenai perobohan lokasi kejadian iaitu tandas sekolah sedangkan siasatan masih belum dimuktamadkan.

“Kami juga menuntut ketelusan dalam kawalan keselamatan sekolah termasuk tindakan susulan terhadap insiden pergaduhan sebelum tragedi berlaku.

“Selain itu kami mahu kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan menunjukkan komitmen dengan memastikan maklumat berkaitan tersedia untuk orang awam serta membuka ruang sekiranya kes ini perlu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Kedua-dua ibu bapa Allahyarham Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ruhani Hussin turut hadir bersama penyokong keluarga semasa penyerahan memorandum.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengesahkan pada 20 Ogos bahawa Polis Diraja Malaysia akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.

Wan Ahmad Faris ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas pada Disember 2013.

Mayatnya dilaporkan ditemukan penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas tersebut.

Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Mahkamah Koroner memutuskan pada Jun 2016 bahawa kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti. – Bernama