ISKANDAR PUTERI: Kematian seorang guru wanita yang mayatnya ditemukan di kediamannya di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini 13 Jun lepas dipercayai tidak mempunyai sebarang unsur jenayah yang melibatkan sindiket pinjaman wang haram atau along.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata meskipun Lo Kwan Fong, 39, pernah meminjam RM20,000 daripada along, namun hutang berkenaan telah dilunaskan.
“Mendiang pernah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Namun selepas hutang dilunaskan, wanita itu tidak (lagi) membuat laporan polis.
“Malah, jiran mendiang juga menyatakan tiada along datang menyimbah cat di rumahnya,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Beliau berkata sehingga kini mayat wanita itu masih belum dituntut ahli keluarga.
Kumarasan berkata pihak polis telah membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mengesahkan mendiang adalah anak tunggal, manakala ibu serta bapanya telah meninggal dunia.
“Polis akan berbincang semula dengan pihak hospital. Selepas dua minggu, akan dilepaskan kepada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk melantik syarikat pengebumian swasta.
“Difahamkan, mendiang mempunyai seorang ibu saudara di Singapura tetapi sehingga kini kita tidak dapat maklumat berhubung perkara itu. Ada juga ibu bapa pelajar yang mahu membantu proses pengebumian Lo,“ katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis mengesahkan penemuan mayat seorang guru di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri dipercayai meninggal dunia kira-kira sebulan lepas.