KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kematian seorang wanita warga emas dalam kebakaran di sebuah apartmen di Petaling Jaya, semalam tiada unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata siasatan pihak forensik bomba mendapati kebakaran disyaki berpunca daripada rokok daun selain terdapat banyak puntung rokok di sekeliling katil mangsa.

Beliau berkata pihak bomba mendapati kebakaran hanya berlaku di bilik wanita berusia 62 tahun itu yang terletak bersebelahan dengan ruang dapur.

“Menurut maklumat diperolehi, mangsa tinggal bersendirian dan mengalami patah kaki dua tahun lepas dan bergerak menggunakan sokongan tongkat empat kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Semalam, media melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan hampir rentung di atas katil dalam kebakaran di sebuah apartmen di Jalan 21/13, Petaling Jaya.