• 2025-07-30 08:32 PM

KUALA LUMPUR: Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, terus mendapat perhatian Ahli Parlimen yang menyeru tindakan segera bagi menangani isu keselamatan dan buli di sekolah.

Tragedi ini mencetuskan kebimbangan mendalam mengenai perlindungan pelajar dalam sistem pendidikan negara.

Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) menyifatkan kejadian itu sebagai satu tamparan besar kepada semua pihak. “Berapa ramai lagi anak-anak kita yang dibuli harus patah semangat sebelum tindakan diambil? Saya merayu bukan hanya sebagai Ahli Parlimen tetapi sebagai seorang ayah, seorang rakyat agar isu buli di sekolah ditangani dengan tindakan proaktif,“ katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat.

Beliau mencadangkan penubuhan unit khas antibuli di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memantau sekolah secara berkala. “Unit ini perlu mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun bersama pihak sekolah, PIBG, dan polis bagi memastikan langkah pencegahan dilaksanakan,“ jelasnya.

Sementara itu, Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) menekankan kepentingan ketelusan siasatan. “Hanya dengan siasatan yang telus kita mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara. Keluarga Allahyarham berhak mengetahui kebenaran, keadilan untuk mereka dan reformasi untuk sistem pendidikan,“ tegasnya.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pula mempersoalkan punca sebenar kejadian sama ada melibatkan kemalangan atau unsur jenayah. “Sekiranya kejadian tersebut merupakan kemalangan, apakah faktor yang menyumbang termasuk keadaan persekitaran, keselamatan asrama, atau keadaan emosi mangsa?” katanya.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas. Pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sehari sebelumnya. - Bernama