• 2025-07-31 10:32 AM

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto atas sokongan kukuh negara itu terhadap Kepengerusian ASEAN yang disandang Malaysia, ketika kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen kepada perpaduan dan kerelevanan ASEAN di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Mesej itu disampaikan semasa Rundingan Tahunan ke-13 antara kedua-dua pemimpin yang berlangsung di Jakarta pada Selasa, yang mana mereka turut menegaskan peranan ASEAN sebagai platform utama kerjasama serantau dan menekankan kepentingan kepusatan dan daya tahan ASEAN di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Anwar berkata beliau menantikan kehadiran Prabowo ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober nanti.

“Kedua-dua pemimpin menekankan keperluan untuk ASEAN kekal relevan, bersatu dan proaktif dalam menangani cabaran serantau dan global, sambil memperkukuh integrasi untuk menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia pada Rabu.

Mengenai situasi di Myanmar, kedua-dua pemimpin melahirkan kebimbangan mendalam terhadap keganasan berterusan dan krisis kemanusiaan yang berlaku serta menegaskan komitmen mereka terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai rangka kerja utama ASEAN dalam menyelesaikan kebuntuan politik negara itu. Mereka menyeru gencatan senjata serta-merta, menyeluruh dan kekal bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan serta dialog inklusif dilaksanakan.

Prabowo dan Anwar turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan ASEAN dan rakan luar dalam menyokong pelaksanaan penuh 5PC ke arah penyelesaian damai dan berkekalan untuk rakyat Myanmar.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan Prabowo mengenai hasil Mesyuarat Khas yang dianjurkan Malaysia pada 28 Julai bagi menangani ketegangan antara Kemboja dan Thailand, yang telah membawa kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.

Prabowo memuji usaha Malaysia dan menyatakan sokongan penuh terhadap peranannya dalam mempromosikan kestabilan serantau, menurut kenyataan itu.

Berhubung isu Palestin, kedua-dua pemimpin menegaskan keperluan mendesak untuk tindakan kolektif global bagi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, serta menyeru gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat di Gaza.

Prabowo dan Anwar turut mengecam penggunaan kebuluran sebagai senjata dan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.

“Mereka menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk mengenakan kedaulatan Israel ke atas Wilayah Palestin yang Diduduki atau mengusir rakyat Palestin secara paksa, sambil mengalu-alukan pengiktirafan semakin meluas terhadap Negara Palestin dan menyeru negara-negara yang belum berbuat demikian agar mengiktirafnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-17 sebagai susulan kepada rundingan tahun ini, serta mengesahkan bahawa Rundingan Tahunan ke-14 akan diadakan di Malaysia pada 2026.

-- BERNAMA