PHNOM PENH: Kemboja meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia, yang kini berperanan sebagai penyelaras dan pemerhati pelaksanaan gencatan senjata, untuk membebaskan 20 anggotanya yang masih ditahan oleh tentera Thailand.
Menurut laporan agensi berita rasmi Kemboja Agence Kampuchea Presse, pegawai kanan tentera Kemboja sedang mengadakan rundingan dengan tentera Thailand bagi membolehkan pembebasan kesemua anggota yang ditawan, memetik kenyataan Perdana Menteri Hun Manet.
Selain itu, kerajaan turut mendapatkan bantuan daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang kini mengetuai pasukan pemantau gencatan senjata.
“Saya amat berharap agar tentera Thailand dapat mengembalikan semua anggota tentera kami yang kini berada dalam tahanan mereka ke Kemboja secepat mungkin,” kata Manet seperti dilaporkan agensi itu.
Laporan berkenaan turut menyebut bahawa Panglima Angkatan Tentera Diraja Kemboja, Jeneral Vong Pisen telah mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak Malaysia untuk membantu usaha pembebasan itu.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata memaklumkan kepada media bahawa tentera Thailand telah menyerahkan mayat seorang anggotanya, manakala 20 lagi tentera Kemboja masih dalam tahanan.
“Daripada 21 anggota tentera Kemboja yang berada di bawah kawalan tentera Thailand, setakat ini kami hanya menerima satu mayat. Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan baki 20 orang lagi dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya.
Konflik bersenjata antara Kemboja dan Thailand itu berakhir tepat tengah malam 28 Julai, susulan persetujuan gencatan senjata yang dicapai dalam mesyuarat khas anjuran Malaysia di Putrajaya- BERNAMA