PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi berhasrat menganjurkan Projek Sigma 2.0 dengan kerjasama Google bagi membolehkan enam agensi di bawah kementerian itu memahami dengan lebih mendalam corak penerimaan maklumat serta keperluan Generasi Z (Gen Z).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau bercadang menjemput Google ke Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk melaksanakan projek berkenaan, agar enam agensi terbabit dapat memahami dapatan daripada Projek Sigma yang telah dilaksanakan pada Mei lepas.

“Mungkin akan ada Projek Sigma 2.0 yang melibatkan lebih banyak isu kerana kita mahu agensi media menjadi lebih kukuh dan bersedia menghadapi perubahan, termasuk kesan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Projek sebelum ini tidak melibatkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sebab itu saya mahu dapatan daripada Projek Sigma dikongsikan dengan agensi di bawah Kementerian Komunikasi. Dalam hal ini, saya berharap Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Bernama, IPPTAR dan Jabatan Komunikasi Komuniti dapat terlibat,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Mengulas mengenai Projek Sigma, yang berlangsung selama 10 minggu sebagai inisiatif bersama Kementerian Komunikasi dan Google, Fahmi berkata antara syarikat media tempatan yang terlibat ialah Sinar Daily, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), The Star dan Sin Chew Daily.

“Kita jemput syarikat-syarikat media ini bagi memahami audiens Gen Z. Jadi saya mahu, apa yang telah dipelajari oleh syarikat tersebut melalui Projek Sigma dikongsi dan difahami oleh jabatan dan agensi di bawah kementerian,” katanya.

Pada 27 Mei lepas, Fahmi mencadangkan agar IPPTAR bekerjasama dengan Google untuk memperluas pelaksanaan projek tersebut kepada agensi dan organisasi lain, memandangkan corak keperluan serta tingkah laku audiens, khususnya generasi muda kini semakin berubah dan menuntut pendekatan penyampaian maklumat yang lebih segar dan bersesuaian.

Terdahulu dalam ucapanya semasa perhimpunan itu, Fahmi turut menzahirkan ucapan takziah kepada penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak, Isnin lepas.

“Kita doakan agar keluarga mangsa, serta mereka yang tercedera atau terselamat, diberikan kekuatan untuk menempuh detik yang amat sukar ini,” katanya.

Pada awal pagi Isnin lepas, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.

Kemalangan itu turut menyebabkan 33 individu cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.