• 2025-10-20 06:00 PM

LAHAD DATU: Kementerian Pertahanan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan Malaysia di Sabah melalui perancangan Angkatan Masa Hadapan bagi tempoh lima tahun bermula tahun depan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perancangan itu termasuk menambah jumlah batalion di dua briged sedia ada di negeri berkenaan.

“Biasanya satu briged mempunyai tiga batalion, namun bagi Sabah, dua briged sedia ada akan ditambah satu batalion lagi menjadikan setiap briged mempunyai empat batalion,“ katanya.

Beliau berkata dua batalion dari Semenanjung akan dipindahkan ke Sabah sebagai sebahagian daripada penambahan ini.

Kementerian juga akan menubuhkan satu rejimen artileri 155mm baharu di Sabah.

“Ketika ini hanya terdapat rejimen 105mm di Sabah,“ jelas Mohamed Khaled selepas meninjau Pos Tanduo di sini.

Jumlah radar persisiran pantai akan ditambah kepada empat unit berbanding dua unit sebelum ini.

Dua daripada radar tersebut akan ditempatkan di kawasan Ops Pasir termasuk di Lahad Datu.

Kementerian turut memberi tumpuan besar terhadap memperkukuh keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia di wilayah Sabah.

Proses memperoleh pangkalan bergerak di Semporna sedang dilaksanakan bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah.

Pangkalan sedia ada bersifat statik dan dijangka tamat tempoh penggunaan tahun depan.

Perolehan kapal serta pesawat baharu juga sedang dilaksanakan oleh kementerian.

Mohamed Khaled menekankan kepentingan penggunaan teknologi tinggi dalam operasi ketenteraan.

Antara teknologi yang akan digunakan termasuk dron serta kecerdasan buatan bagi memantapkan operasi.

Penggunaan teknologi ini akan memudahkan tugasan anggota tentera di lapangan terutamanya di kawasan Ops Pasir.

Kawasan tanggungjawab Ops Pasir termasuk Lahad Datu meliputi kawasan yang sangat luas.

Usaha memperkukuh keselamatan ini turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan Sabah.

Sabah mencatatkan kehadiran kira-kira 1.7 juta pelancong tahun ini.

“Kehadiran Ops Pasir dengan sektor tanggungjawab yang terancang memastikan ekonomi Sabah kekal stabil,“ ujar Mohamed Khaled.

Beliau menegaskan tanpa operasi seperti ini, mungkin wujud risiko penyeludupan atau ancaman keselamatan.

“Namun hari ini, keadaan di Sabah tenang dan terkawal,“ katanya. – Bernama