• 2025-09-04 05:03 PM

SERDANG: Kementerian Pertahanan akan menambah baik kurikulum dan pengisian latihan bagi menggalakkan penyertaan mahasiswa Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu bagi menarik penyertaan mahasiswa ketika di universiti yang memberi manfaat serta tidak berakhir tanpa kesinambungan selepas tamat pengajian.

“Kita mahu lebih ramai daripada mereka (mahasiswa PALAPES) sekurang-kurangnya menjadi anggota simpanan ATM.”

“Kita juga akan kaji faktor yang menghalang mereka daripada terus aktif setelah meninggalkan universiti,” katanya pada sidang media selepas menyampaian Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

PALAPES ialah program latihan ketenteraan di universiti awam yang melibatkan tiga cabang ATM – Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara – dengan tujuan melahirkan pegawai simpanan muda berdisiplin, berwawasan dan bersemangat patriotik.

Mohamed Khaled berkata langkah memperkukuh penyertaan PALAPES juga penting untuk mencapai sasaran kementerian mewujudkan nisbah seorang tentera tetap kepada seorang tentera simpanan.

Beliau memaklumkan jumlah semasa ialah 121,000 tentera tetap dan 34,000 tentera simpanan.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar memaklumkan kira-kira sembilan peratus pelatih PALAPES menyertai ATM selepas menamatkan pengajian setiap tahun.

Seramai 30 peratus lagi berbuat demikian selepas mendapat pekerjaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan menggunakan peruntukan secara berhemat sekiranya cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara kepada 1.5 peratus daripada KDNK menjelang 2030 diluluskan kerajaan.

“Tumpuan utama ialah memperkukuh aset ketenteraan dan menjayakan penubuhan angkatan masa hadapan ATM.”

“Apa-apa pun perlu ikut peraturan, bukan bermakna bila dapat peruntukan boleh terus beli apa sahaja,” katanya. – Bernama