KUALA LUMPUR: Keputusan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk menamatkan perjanjian langganan saham (SSA) dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih kekal walaupun pihak TM boleh merayu terhadap keputusan itu, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

“Walaupun kami tidak dapat menghalang Telekom daripada merayu, keputusan yang dibuat oleh DNB untuk menamatkan SSA kekal.

“Mereka telah memohon lanjutan masa, dan ia telah diberikan. Bagaimanapun, mereka tidak dapat mematuhi tempoh lanjutan. Oleh itu, SSA antara mereka dan DNB ditamatkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Pelabuhan Laut Terhubung: Fungsian Teknologi Lanjutan Dikuasakan 5G di sini hari ini.

TM menerima notis penamatan daripada DNB bagi SSA yang ditandatangani pada 1 Dis 2023 membabitkan kepentingan dalam DNB.

Ini berlaku selepas permohonan dan rayuan TM untuk “pelanjutan syarat duluan tarikh henti panjang” ditolak. Permohonan dan rayuan untuk pelanjutan seterusnya bertujuan mendapatkan kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa berikutan SSA melibatkan transaksi pihak berkaitan.

Gobind dalam ucapan semasa merasmikan program itu berkata pengendali pelabuhan laut Malaysia perlu melabur dalam teknologi digital dan 5G untuk kekal berdaya saing.

“Pada majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia 2024 bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru industri maritim meningkatkan daya tahan sambil berharap pelabuhan Malaysia boleh mencapai kedudukan antara 10 teratas di dunia,” katanya.

Beliau berkata pendigitalan pelabuhan laut akan turut menambah nilai kepada ekosistem logistik dan rantaian bekalan.

“Satu contoh yang jelas adalah lebih ramai pemain boleh meningkatkan rantaian nilai dengan pengintegrasian penyelesaian digital. Pendigitalan pelabuhan laut akan mengurangkan halangan kemasukan rakyat Malaysia untuk berniaga secara dalam talian dan merentas sempadan.

“Ini akan memudahkan bukan sahaja pemilik perniagaan malah suri rumah yang menyumbang kepada pendapatan isi rumah keluarga dengan menyertai e-dagang,” katanya.

Gobind berkata, seperti sektor lain yang penting kepada ekonomi dan kesejahteraan negara, industri pelabuhan, perkapalan dan pengangkutan marin perlu memanfaatkan kesalinghubungan bertaraf dunia yang sedia ada di negara ini.