GEORGE TOWN: Sebanyak 76 panggilan kes keracunan akibat pendedahan kepada vape yang dipercayai mengandungi bahan terlarang dirujuk ke Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Perkhidmatan Khidmat Nasihat Keracunan dari 2020 sehingga tahun lepas.
Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun PRN USM Mohd Fadhli Razali berkata statistik itu menunjukkan peningkatan mendadak dengan lonjakan ketara bermula pada 2022 apabila 65 peratus atau 17 kes direkodkan daripada jumlah kes pendedahan vape yang dirujuk pada tahun itu.
“Kes itu meningkat saban tahun dengan 79 peratus (27 kes) pada 2023 dan 68 peratus atau 26 kes pada 2024. Majoriti kes, iaitu 81 peratus melibatkan vape yang dikatakan sebagai Magic Mushroom Vape.
“Kebanyakan kes membabitkan remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun (41 peratus) dan 53 peratus lagi awal dewasa 20 tahun sebanyak 53 peratus, membuktikan trend ini semakin membarah dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dapatan itu juga secara tidak langsung memperlihatkan keperluan mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi mengekang lebih ramai lagi anak muda daripada menjadi mangsa penagihan, khususnya dadah jenis baharu seperti kanabinoid sintetik yang dikesan dalam cecair vape.
Mohd Fadhli memaklumkan kebanyakan pesakit yang terdedah akan mengalami gejala sawan, pengsan, muntah dan psikiatri seperti halusinasi, delusi dan perubahan sikap, termasuk bertindak agresif, malah lebih membimbangkan apabila sebahagian besar kes menunjukkan gejala keracunan serius walaupun dengan satu dua sedutan sahaja yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang sekeliling.
Sehubungan dengan itu, PRN menjalankan analisis terhadap beberapa sampel cecair vape yang didakwa mengandungi Magic Mushroom dan mendapati kandungan sebenarnya ialah dadah sintetik yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut.
“Ini membuktikan vape sangat mudah dimanipulasi dan tanpa kawalan ketat, ia membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah berbahaya dalam masyarakat. Remaja menjadi sasaran utama penjualan produk ini kerana akses mudah melalui platform dalam talian dan sukar dikawal,“ katanya.
Beliau berkata peningkatan kes keracunan vape itu membuktikan keperluan penguatkuasaan segera melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan sokongan di peringkat negeri.