BANTING: Kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan harga jualan Rumah Mesra Rakyat (RMR) meskipun berlaku kenaikan kos bahan binaan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu, menegaskan bahawa Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mempunyai mekanisme untuk menangani isu ini, termasuk penggunaan sistem binaan berindustri (IBS).
“Itu antara kebijaksanaan SPNB dalam menghadapi isu kenaikan kos bahan binaan tanpa perlu menaikkan harga jualan RMR. Dengan kaedah IBS bukan sahaja harga rumah tidak perlu dinaikkan, malah kualiti binaan RMR juga lebih baik selain reka bentuk rumah yang dibina menjadi lebih menarik,“ katanya selepas majlis penyerahan kunci RMR di Kampung Sungai Kelambu.
RMR dijual pada harga RM75,000 seunit dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000, khusus untuk golongan B40. Aiman Athirah turut menyatakan bahawa SPNB sedang mengkaji cadangan membenarkan pembelian secara tunai bagi mempercepatkan proses pembinaan.
“Jika ada pemohon yang mampu membeli secara tunai, kerajaan hanya perlu membayar subsidi RM20,000 berbanding peruntukan penuh RM75,000. Ini akan mempercepatkan pembinaan rumah,“ jelasnya.
Setakat ini, 3,000 unit RMR telah siap atau dalam pembinaan daripada sasaran 5,000 unit untuk tahun ini.