SEREMBAN: Kerajaan sentiasa komited dalam membantu memudahkan usahawan mikro dan sederhana mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata ini kerana pensijilan itu akan memberikan nilai tambah kepada perniagaan mereka selain meningkatkan kualiti dan diberkati sekali gus memperkasakan industri halal negara.

“Dalam aspek ini, kita harus memahami konteks realiti mereka (usahawan), kerajaan akan membantu sebaik mungkin (dapat sijil halal). Insya-Allah, sudah ada pelan yang digerakkan (untuk bantu) cuma kita ingin percepatkan lagi, belum boleh umum sekarang tapi ada pelan tindakannya.

“Kita rasakan perlu sentiasa memberikan kesedaran dan kefahaman terhadap realiti dan nilai tambah, halal bukan sahaja dari aspek kebersihan tapi kesihatan dan menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sinergi Halal dan Zakat ‘Produkku Halal, Hasilku Berkat’ di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pengertian halal bukan sahaja merujuk kepada penyediaan dan pengurusan perniagaan terhadap bahan dan perkhidmatan tetapi ia juga pembiayaan kewangan yang perlu berpandukan syariah.

“Pensijilan halal kita sudah membanggakan dan diiktiraf dunia, namun kena lihat lapisan kedua iaitu pembiayaannya sebagai contoh untuk perbesarkan perniagaan, kalau perbankan elakkan (perbankan) konvensional, ini bagi menghalalkan keseluruhan aspek..pembiayaan perlu daripada sektor kewangan Islam,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berharap seminar anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang disertai lebih 400 usahawan hari ini dapat memberikan pendedahan tambahan mengenai industri halal justeru mereka dapat melaksanakan kewajipan zakat dan mengeluarkan produk diyakini halal.

Selain itu, beliau berkata inisiatif Kotej Halal yang diwujudkan di Negeri Sembilan merupakan langkah strategik membantu peniaga kecil yang menjalankan perniagaan dari rumah.

“Inisiatif itu bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka mencapai pensijilan halal tetapi memastikan perniagaan diusahakan dengan cara yang bersih, selamat dan berlandaskan hukum syarak,” katanya.