• 2025-06-24 04:18 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan insentif cukai baharu bagi modal teroka (VC) yang turut merangkumi kadar cukai konsesi sebanyak lima peratus bagi tempoh sehingga 10 tahun untuk entiti dana yang layak dan melabur sekurang-kurangnya 20 peratus dalam syarikat pemula niaga tempatan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata insentif baharu itu juga melibatkan kadar cukai sebanyak 10 peratus bagi syarikat pengurusan modal teroka dan ekuiti persendirian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

“Insentif cukai baharu ini juga diperluaskan kepada perkongsian liabiliti terhad (LLP) di peringkat dalam negara, sekali gus dapat memperluaskan lagi asas pelabur bagi memperdalamkan dana modal untuk kalangan syarikat pemula niaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama selepas Khazanah Nasional Bhd dan anak syarikatnya, Jelawang Capital, mengumumkan pemilihan lima firma VC pertama di bawah Program Pengurus Dana Baharu dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau pada majlis diadakan di sini, hari ini.

Kesemua langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem modal teroka.