KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan MADANI telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi Sabah.
Beliau berkata menerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan.
Antara tuntutan yang dipersetujui bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah termasuklah penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada kerajaan Sabah.
Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.
Anwar berkata demikian pada sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan MADANI Berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan MADANI juga mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Kerajaan Persekutuan turut menyerahkan kuasa kelulusan perolehan bagi Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah hingga RM50 juta.
Tuntutan yang telah diselesaikan termasuk pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
Kerajaan Persekutuan juga menyokong pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah supaya dimanfaatkan rakyat negeri itu.
Perjanjian Kerjasama Komersial telah dimeterai dengan kerajaan Sabah pada Disember 2021 untuk meningkatkan penyertaan anak Sabah dalam industri minyak dan gas.
Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada 2024.
Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum bagi tujuan menjana hasil tambahan sekitar RM2 bilion setahun.
Perdana Menteri menegaskan Kerajaan MADANI sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak sejak puluhan tahun.
Kerajaan meningkatkan kadar pemberian khas kepada Sabah dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun demi kesejahteraan negeri itu.
Komitmen ini adalah berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi.
Kerajaan juga menambah baik pemberian khas Sabah sesuai dengan keperluan perkhidmatan kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan. – Bernama