SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak meminggirkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili pembangkang di negeri ini sebaliknya telah menyalurkan peruntukan melalui projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata selaras dengan prinsip kerajaan MADANI, sebanyak RM34.49 juta merangkumi 119 projek diluluskan di lima kawasan DUN pembangkang pada tahun lepas.

“DUN Bagan Pinang melibatkan 25 projek berjumlah RM5.84 juta bagi 2023 dan 11 projek dengan peruntukan berjumlah RM2.34 juta tahun ini. Bagi DUN Gemas terdapat 29 projek melibatkan RM6.09 juta pada tahun lepas dan 39 projek dengan peruntukan RM6.34 juta bagi tahun ini.

“DUN Labu pula 10 projek melibatkan peruntukan RM2.01 juta pada tahun lepas dan 11 projek bernilai RM2.06 juta bagi tahun ini manakala 19 projek di DUN Paroi dengan peruntukan RM12.07 juta tahun lepas dan 13 projek berjumlah RM3.22 juta bagi tahun ini,“ katanya ketika sesi penggulungan persidangan DUN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Aminuddin berkata DUN Serting pula melibatkan 36 projek dengan peruntukan berjumlah RM8.48 juta pada tahun lepas dan 17 projek berjumlah RM2.5 juta untuk tahun ini, selain itu kerajaan negeri juga bersedia mengkaji kenaikan gaji ADUN serta gaji penjawat awam negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pembinaan fasiliti ladang lembu tenusu di Pasir Besar, Gemas oleh syarikat F&N Holdings Berhad giat dijalankan dan kumpulan pertama 2,000 lembu dari Amerika Syarikat dijadualkan tiba pada November ini.

Beliau berkata penternakan lembu tenusu itu juga mengambil contoh teknologi ladang tenusu di China yang disesuaikan dengan faktor setempat, hasil lawatan ke ladang tenusu Wei Gang Dairy Farm dan Wei Gang Taichuangyuan Smart Farm, Nanjing pada 23 dan 24 April lepas.

“Teknologi itu merangkumi sistem perahan susu secara automatik, pembersihan najis lembu secara automatik menggunakan saliran antibau, kawalan pengudaraan automatik dan semula jadi serta sistem nyahbau yang tercanggih di dunia,” katanya.

Beliau berkata mengikut Data Bancian Asas oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, kadar sara diri bagi susu segar di negeri ini pada tahun lepas adalah sebanyak 122.8 peratus.

“Ini bermaksud tidak timbul isu ketidakcukupan susu segar di negeri ini dan ladang tenusu ini akan menambahkan bekalan di pasaran tempatan dan memenuhi keperluan pasaran negeri lain serta antarabangsa selain menawarkan peluang kerja,” katanya.

Jalaluddin berkata pengeluaran udang galah di negeri ini merekodkan hasil bernilai lebih RM3.48 juta daripada 51.13 tan metrik pada tahun lepas membabitkan 41 penternak berdaftar dengan Jabatan Daerah Kuala Pilah, manakala Kuala Pilah merupakan pengeluar tertinggi sumber perikanan.

Beliau berkata selain memenuhi permintaan tempatan, benih udang galah di negeri ini juga mula mendapat permintaan luar negara dan pada tahun lepas sebanyak 132,000 benih udang galah bernilai RM18,195 dieksport ke Taiwan dan Bangladesh.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar pula memaklumkan Kementerian Pengangkutan melantik dua operator bagi melaksanakan perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini bermula 1 April lepas bagi tempoh lima tahun.

Beliau berkata operator berkenaan perlu menyediakan 100 bas baharu termasuk empat bas elektrik bagi menyediakan perkhidmatan bas di seluruh negeri bermula 1 Julai ini.

Persidangan DUN hari ini turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan dan Pelesenan Penternakan Unggas dan Aktiviti Berkaitan Penternakan Unggas (Pindaan) 2024 serta RUU Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (Pindaan) 2024.

Aminuddin berkata pindaan berkenaan bertujuan menjadikan isi kandungannya lebih jelas, tadbir urus lebih efisien dan penguatkuasaan akan lebih menyeluruh.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.