MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa mengenai masalah air cetek di muara Jeti Pangkalan Pantai Siring, Umbai yang dipercayai dihadapi nelayan sejak lebih empat tahun lalu.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata laporan itu akan diminta daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam masa terdekat sebelum tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan.
“Saya masih belum mendapat laporan menyeluruh berhubung perkara ini namun pada bulan lepas saya bersama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof turut turun padang meninjau keadaan di Pantai Siring.”
“Saya yakin dan percaya isu yang membelenggu nelayan akan ditangani sebaik laporan penuh diterima kerana kita tidak pernah abaikan mereka dan kita akan lihat apa yang perlu dilakukan untuk diatasi masalah tersebut,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, Krubong.
Media melaporkan sebelum ini kira-kira 50 nelayan dan pengusaha bot pelancong di Jeti Pangkalan Pantai Siring telah memohon pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi itu.
Mereka mendakwa keadaan kerosakan sistem pintu air menjadi antara punca muara cetek dan dipenuhi lumpur dan menyukarkan sampan serta bot keluar masuk sekali gus menjejaskan aktiviti harian mereka. – Bernama