• 2025-10-13 05:55 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan setiap pembangunan di negara ini dirancang dan dilaksanakan secara seimbang antara kemajuan fizikal dengan kesejahteraan insan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap kelulusan pembangunan baharu mesti berpaksikan nilai kemanusiaan termasuk bagi projek berasaskan bandar pintar, kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan.

Beliau menekankan bandar pintar bukan sekadar binaan megah atau sistem canggih tetapi cerminan bagaimana kemajuan dapat mengangkat kesejahteraan hidup rakyat.

Masalah asas rakyat seperti lif usang di perumahan awam, gerai yang uzur dan kemudahan awam yang daif tidak boleh diabaikan dalam proses pembangunan.

Kejayaan pembangunan bukan diukur pada menara yang menjulang tetapi pada sejauh mana rakyat hidup dengan selesa, sejahtera dan bermaruah.

Kerajaan negeri diseru memberikan perhatian kepada pemuliharaan warisan dan budaya khususnya di kawasan bandar lama dan lokasi bersejarah.

Pembangunan moden perlu memelihara seni bina tempatan dan nilai warisan bangsa agar kemajuan tidak mengorbankan jati diri serta keindahan yang membentuk identiti Malaysia.

Hasil mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-49 akan menjadi panduan kepada agensi perancang dan pihak berkuasa tempatan dalam merangka dasar serta meluluskan projek pada masa hadapan.

Pembangunan negara akan terus berpaksikan keseimbangan antara fizikal, teknologi dan kemanusiaan berdasarkan keputusan mesyuarat tersebut. – Bernama