KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan pelaksanaan tokenisasi dan aset digital bersifat inklusif serta memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Beliau berkata, langkah ini akan dikawal selia secara ketat bagi menjamin keselamatan dan kestabilan ekosistem digital negara.
“Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan perkembangan teknologi blockchain, tokenisasi, kriptografi pasca kuantum dan pelancaran Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) yang menjadi pemacu utama ekosistem digital negara,“ katanya dalam satu hantaran di platform media sosial X.
Mesyuarat Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan Anwar turut membincangkan masa depan aset digital dalam pasaran modal negara.
“Mesyuarat ini juga turut menjadi medan bertukar-tukar pandangan terkait trend pasaran global, potensi aset digital serta jangkaan prestasi masa hadapan berdasarkan perspektif teknikal daripada rakan strategik,“ tambahnya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja untuk produk pasaran modal yang ditokenkan.
Kertas perundingan itu bertujuan mendapatkan pandangan mengenai aspek seperti tadbir urus, keperluan pendaftaran, dan pengurusan risiko teknologi. - Bernama