ALOR GAJAH: Kerajaan komited untuk memperkasa ekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk peralatan, latihan dan modal perniagaan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata inisiatif terbaharu di bawah PUVET ialah latihan perniagaan digital untuk usahawan veteran yang akan dilaksanakan di Kelantan tidak lama lagi.
“Ini merupakan projek perintis dikenali sebagai ‘Beg Kuning’ dengan usahawan veteran yang dikenal pasti akan dilatih untuk menjalankan perniagaan digital iaitu secara dalam talian.
“Program ini hasil kerjasama Kementerian Pertahanan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa agensi lain,“ katanya semasa lawatan kebajikan di Kampung Lendu hari ini.
Melalui kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), geran RM1 juta disalurkan kepada PUVET setiap tahun sejak 2023. Veteran terpilih menerima bantuan berupa barangan bernilai RM5,000 seperti peralatan perniagaan dan bekalan makanan ternakan.
Adly menekankan hampir 70 peratus veteran ATM yang berpencen menceburi bidang keusahawanan, menjadikan program seperti PUVET penting untuk sokongan menyeluruh.
“Selain bantuan peralatan, kita juga sediakan latihan peningkatan kemahiran termasuk pemasaran dalam talian.
“Melalui pendekatan menyeluruh seperti PUVET ini, kita bukan hanya bantu veteran berdikari, tetapi juga memperkukuh peranan mereka sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,“ jelasnya.
Program Peduli Veteran Madani (PVM) turut menyantuni 26 keluarga veteran termasuk balu dan usahawan di Alor Gajah dan Jelebu dengan bantuan kesihatan, pendidikan serta sokongan perniagaan. - Bernama