KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025 selepas mendapat lebih kepastian mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan hasil rundingan Malaysia dengan negara itu.

“Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sedang meneliti kesan tarif dan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK setelah terdapat lebih kepastian atas pelaksanaan dasar tarif pentadbiran (Presiden AS Donald) Trump serta hasil rundingan dengan AS,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS di sini.

Menyifatkan situasi berkenaan sebagai dinamik, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata besar kemungkinan negara tidak dapat mencapai unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini iaitu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

Beliau berkata sejak pengumuman pengenaan tarif import oleh AS pada 2 April lepas, Kerajaan MADANI proaktif dengan segera mengambil beberapa ikhtiar awal.

“Pada 4 April lepas, sebuah Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) ditubuhkan yang dipengerusikan saya sendiri dan diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai sekretariat dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan,” kata beliau.

Anwar berkata NGCC berperanan sebagai platform bersepadu melibatkan pelbagai agensi bagi memantau, menilai dan menyelaras tindak balas terhadap perubahan landskap perdagangan global, kejutan tarif serta halangan bukan tarif.

“Sejak sebulan penubuhan, NGCC telah bersidang sebanyak tiga kali,” kata beliau.