KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk memperkenalkan undang-undang berasingan bagi menangani isu buli dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Jemaah Menteri akan menentukan sama ada Rang Undang-Undang Antibuli perlu dibahagikan kepada dua rangka kerja berbeza.
“Ramai yang bertanya sama ada kita wajar mempunyai satu undang-undang untuk semua atau berasingan mengikut kumpulan umur,” katanya selepas menjadi moderator forum Nation Building and Future Resilience.
Azalina menyatakan Jawatankuasa Teknikal akan meneruskan sesi libat urus di seluruh Pantai Timur serta di Sabah dan Sarawak untuk memperhalusi rang undang-undang itu.
RUU itu akan membolehkan penubuhan sebuah Tribunal Antibuli yang bertujuan menyediakan saluran alternatif kepada mangsa.
Cadangan itu sedang diteliti memandangkan skop pelaksanaannya adalah besar kerana membabitkan lebih 10,000 sekolah dan 5.1 juta pelajar di seluruh negara.
Menyentuh mengenai tribunal yang dicadangkan, Azalina berkata ia akan mempercepat prosedur siasatan kerana tidak tertakluk kepada kes jenayah lain.
Beliau berkata pihaknya sedang meneliti pelaksanaan satu mekanisme separa kehakiman iaitu platform khusus seakan-akan mahkamah yang dapat berfungsi dengan lebih pantas.
Kerajaan juga bercadang memperkenal takrifan undang-undang yang lebih jelas berkaitan perbuatan buli merangkumi penderaan fizikal, lisan, emosional, sosial dan siber.
“Rang undang-undang ini akan membolehkan semua mangsa atau wakil mereka berkomunikasi secara langsung dengan tribunal sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah.”
Bagaimanapun bagi individu berumur 18 tahun ke atas, perkara itu akan dinilai secara berbeza sama ada dianggap sebagai kesalahan jenayah atau sebaliknya.
Azalina berkata matlamat kerajaan adalah bagi memastikan Tribunal Antibuli berperanan sebagai pelengkap berbanding pengganti kepada sistem sedia ada.
Rang undang-undang tersebut akan turut memperluas perlindungan kepada kanak-kanak bawah umur yang tidak mengikuti pendidikan formal.
Perlindungan ini akan menjamin akses kepada keadilan untuk semua individu di bawah usia 18 tahun tanpa mengira status pendidikan mereka. – Bernama