• 2025-09-16 08:10 PM

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan akan memperkasakan aktiviti silat di negara ini menerusi penyelarasan di peringkat sekolah, politeknik, Institut Pengajian Tinggi dan Institut Pendidikan Guru di bawah inisiatif Pendekar MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan itu penting bagi membentuk asas perpaduan, disiplin diri dan jati diri dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan nilai MADANI yang menjadi tonggak pentadbiran negara.

Beliau meluluskan peruntukan RM2 juta tahun ini untuk menggerakkan inisiatif Pendekar MADANI bagi menyelaraskan kegiatan semua pertubuhan silat di negara ini.

Anwar menegaskan bahawa seni pertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong tetapi untuk melatih anak-anak bangsa.

Beliau berikrar untuk memastikan semua sekolah mendukung semangat Pendekar MADANI ini, diikuti di politeknik, IPG dan IPT.

Kerajaan akan menghidupkan aktiviti ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda dengan satu matlamat iaitu mengangkat martabat, harkat dan darjat bangsa.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut pada Himpunan Pendekar MADANI di Politeknik Seberang Perai yang dihadiri lebih 10,000 pesilat dari seluruh negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Bakar turut hadir dalam majlis tersebut.

Anwar menjelaskan bahawa semua pertubuhan silat bebas meneruskan latihan dan warisan masing-masing namun perlu disatukan menerusi satu platform penyelarasan di bawah Pendekar MADANI.

Penyelarasan ini bertujuan membentuk kekuatan kolektif bangsa melalui nilai disiplin, semangat perjuangan serta akhlak mulia yang terkandung dalam seni mempertahankan diri Melayu.

Beliau berharap Kementerian Pendidikan dapat menyelaraskan usaha tersebut dengan bantuan persatuan-persatuan silat di negara ini.

Pada majlis tersebut, Anwar turut ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong “Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti” oleh Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia. – Bernama