• 2025-10-22 10:04 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan dan memuktamadkan satu dasar baharu berkaitan sektor pertanian sebagai tindak balas proaktif terhadap cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar tersebut menggunakan pendekatan bersepadu yang dipacu misi dan berteraskan bukti.

Dasar ini memberi tumpuan kepada pengeluaran pertanian dan agromakanan yang cekap dan produktif serta kemampanan sistem agromakanan.

Ia juga meliputi diplomasi makanan serantau, pemakanan sihat dan seimbang, serta pertumbuhan ekonomi terangkum.

“Dasar ini turut akan diperkukuh dengan perundangan khusus bagi menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan dasar serta tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian yang terlibat.

“Langkah ini penting bagi memperkukuh tadbir urus selain memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara secara menyeluruh,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.

Seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13, beliau berkata sektor pertanian perlu diperkukuh melalui pendekatan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan teknologi.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara yang menyentuh mengenai strategi untuk memangkin industri pertanian secara menyeluruh. – Bernama