• 2025-09-15 02:39 PM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka malam esok berikutan bencana melanda negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bencana akibat hujan berterusan telah menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.

Beliau menekankan keutamaan segera kerajaan negeri adalah mengurus krisis dan menyelaras usaha pemulihan serta memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas.

“Saya telah memaklumkan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mengenai perkara itu.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat paling utama,” katanya menerusi kenyataan.

Hajiji mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah supaya sentiasa berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk tindakan segera.

Beliau berkata jawatankuasa itu sedang mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.

“Orang ramai dinasihat supaya terus berwaspada dan mematuhi nasihat keselamatan serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat,” katanya. – Bernama