KOTA BELUD: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta untuk melaksanakan projek pembangunan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Kiau, di sini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek infrastruktur kecil di kampung berkenaan manakala RM100,000 disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau.
“Projek pembangunan Kampung Angkat MADANI merangkumi projek kecil menaik taraf jalan perumahan, jalan pertanian serta kemudahan awam di beberapa zon di Kampung Kiau Nuluh, Kampung Kiau Taburi dan Kampung Kiau Bersatu.
“Antara projek itu ialah menaik taraf jalan padang, dewan, klinik dan balai raya di Kampung Kiau Nuluh; membina parit di Zon Tebobon dan Hongkung, membina jalan dan culvert ke kawasan perkuburan di Kampung Kiau Taburi serta pembinaan jalan komuniti dan sistem perparitan di Zon Tomoduh, Kampung Kiau Bersatu,” katanya.
Ewon berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan Pelancongan Melalui Gerakan Koperasi dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kampung Kiau hari ini.
Bagi Sekolah Angkat MADANI, Ewon berkata peruntukan kepada PIBG SK Kiau adalah untuk keperluan pembangunan sekolah itu.
“SK Kiau tempat saya bersekolah dari darjah satu hingga darjah enam. Saya berharap dengan peruntukan ini dapat menyelesaikan sebahagian daripada keperluan pembangunan di kampung ini termasuk di SK Kiau,” katanya.
Ewon juga menyeru penduduk supaya terus membangunkan sumber alam di kampung berkenaan, khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan dan koperasi bagi merancakkan pembangunan sosioekonomi komuniti setempat - BERNAMA