PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa mengamalkan dasar keterbukaan dan bersedia menerima sebarang teguran berhubung sistem percukaian, namun ia perlu berlandaskan fakta yang tepat, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menekankan bahawa kritikan adalah diterima selagi ia disampaikan melalui saluran yang betul dan tidak bersifat fitnah atau maki hamun. “Saya lihat ada beberapa mahasiswa mengeluh tentang pelarasan bil elektrik, saya tidak faham. Kadar elektrik tak naik, adakah benar dia terkesan. Kalau benar, kita harus betulkan kerana universiti awam dikecualikan,“ katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri.
Anwar menjelaskan bahawa pelarasan tarif elektrik dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bertujuan memastikan golongan berkemampuan tinggi menyumbang secara lebih adil, sambil melindungi rakyat biasa daripada beban kewangan tidak wajar. “Cukai yang kita laksanakan, kalau boleh tidak mahu bebankan rakyat, tetapi andai kata ada satu dua yang terkena, boleh kita baiki,“ ujarnya.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini. Manakala pada 13 Jun, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik lebih adil menerusi pelaksanaan jadual tarif baharu bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2027.