• 2025-07-10 02:37 PM

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berhak menarik balik kelulusan tanah bagi pembangunan rumah ibadat bukan Islam sekiranya projek tersebut tidak dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Perkara ini dinyatakan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ng menjelaskan bahawa tanah yang ditarik balik akan diberikan semula kepada pihak yang benar-benar memerlukan. Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) telah meluluskan 400 slot tanah untuk pembinaan rumah ibadat bukan Islam sejak 2008.

“Jadi kalau kita dah berikan tanah untuk mereka bina rumah ibadat. Kalau dalam tempoh masa tertentu masih tidak ada pembinaan, kita akan pastikan dalam tempoh lima tahun, kita akan rujuk kembali untuk kita ambil balik tanah itu,” katanya.

Kenyataan ini dibuat sebagai jawapan kepada pertanyaan tambahan Lwi Kian Keong (PH-Sungai Pelek) yang ingin mengetahui tempoh pembangunan rumah ibadat selepas kelulusan diberikan. - Bernama